KOTA KINABALU: Beberapa kenyataan yang mencadangkan Presiden Parti StarSabah Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan menggantikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor adalah pembohongan pihak pembangkang yang bertujuan untuk mencetuskan perpecahan dan kekeliruan di kalangan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Setiausaha Agung Star Sabah, Senator Datuk Edward Linggu Bukut berkata tiada pendirian sedemikian yang dipersetujukan parti terbabit berikutan mesyuarat Biro Politik yang diadakan baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa cadangan sindiran itu adalah gerakan politik pembangkang bertujuan untuk menggugat kestabilan pentadbiran GRS supaya mereka boleh mengambil alih Kerajaan Negeri dengan mudah.
“Malah mereka akan menggunakan taktik kotor seperti manipulasi media semata-mata untuk mencapai cita-cita politik yang mementingkan diri sendiri.
“Walau bagaimanapun, pentadbiran GRS adalah dan terus kekal kukuh, stabil dan bersatu padu.
“Parti Star Sabah mengesahkan sokongan kami kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji dan tidak nampak keperluan untuk beliau berundur,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Beliau turut mengulangi kepercayaan bahawa dengan kestabilan bersatu di bawah kepimpinan Hajiji, visi serta perjuangan gigih Dr. Jeffrey sebagai Timbalan Ketua Menteri, Sabah berada pada kedudukan yang paling kukuh untuk mengejar haknya serta menjaga kepentingan Negara.
Dalam pada itu, beliau berkata kenyataan Ketua Sayap Wanita Party StarSabah, Kerry Chee, adalah pendapat peribadinya sendiri dan tidak menggambarkan pendirian Parti mengenai perkara itu.
“Dia telah dinasihatkan mengenai perkara itu dan telah menerima nasihat parti.
“Kami juga menasihatkan ahli-ahli kami supaya berhati-hati terhadap hasutan jahat daripada pembangkang dan mengelak daripada terlibat dengan posting fitnah mereka,” tambahnya.
Terdahulu, Kerry mengatakan bahawa Dr Jeffrey Kitingan adalah calon terbaik untuk menjadi Ketua Menteri Sabah.