KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak dan remaja perempuan berusia 12 dan 17 tahun cedera selepas Honda City dinaiki mereka terbabas di pembahagi jalan jejambat Jalan UMS berhampiran Kg Delima dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang semalam.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, terdapat 3 orang mangsa perempuan terlibat.
“Dua orang mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan mengalami kecederaan manakala seorang lagi mangsa tidak mengalami kecederaan.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital KPJ menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 6.27 petang,” kata seorang jurucakap agensi.
Seramai 10 orang anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu diketuai PBK II Idy Nirwan Ilyas terlibat dalam operasi tersebut.