Advertisement

Substesen Pulau Sibuan Ditutup Ekoran Penemuan Objek Disyaki Bom Perang Dunia Kedua – Sabah News

KOTA KINABALU: Pihak pengurusan Taman-Taman Sabah mengeluarkan notis penutupan sementara Substesen Pulau Sibuan di Taman Marin Tun Sakaran, Semporna pada tengah hari Selasa ekoran penemuan objek yang disyaki bom Perang Dunia Ke-2 .

Menurutnya, laporan polis telah dibuat untuk tujuan siasatan lanjut.

“Walau bagaimanapun pulau-pulau lain di dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran dibuka seperti biasa kepada lawatan pelancong.

“Segala kesulitan berhubung perkara ini adalah sangat dikesali,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal manakala menyeru pihak berkuasa bertindak pantas bagi menangani isu terbabit dan memastikan pulau tersebut kembali selamat.

Katanya ia bukan sahaja melibatkan keselamatan tetapi juga memberi kesan kepada industri pelancongan.

“Pulau Sibuan merupakan destinasi terkenal untuk pelancong dan penyelam, dan ketika negara bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, kita tidak mampu kehilangan pengunjung akibat penutupan yang berpanjangan.

“Pelancongan adalah komponen penting dalam ekonomi Semporna, dan ramai rakyat tempatan bergantung kepada industri ini.

“Saya menyeru pihak berkuasa yang berkaitan untuk mempercepatkan proses penyiasatan dan pelupusan objek yang disyaki bom ini,” jelasnya.

Selain itu, beliau meminta Taman-Taman Sabah dan agensi lain yang terlibat untuk memberikan garis masa yang jelas dan telus kepada orang awam mengenai bila pulau tersebut boleh dibuka semula.

Katanya langkah demikian akan memberi keyakinan kepada pelancong dan pihak perniagaan bahawa segala usaha sedang dilakukan untuk menyelesaikan isu terbabit.