Advertisement

Melintas Tidak Guna Jejantas, Pejalan Kaki Dan Penunggang Motosikal Maut Dalam Kemalangan Dekat Alam Mesra – Sabah News

KOTA KINABALU: Penunggang motosikal berusia 23 tahun dan pejalan kaki 43 tahun meninggal dunia dalam kemalangan berhampiran Plaza Alam Mesra, Jalan UMS semalam.

Kedua-dua mangsa lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi susulan kemalangan 8.30 malam itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pejalan kaki terbabit sedang berlari melintas jalan sebelum dilanggar motosikal jenis Yamaha LC yang turut dibonceng berusia 23 tahun.

“Motosikal terbabit datang daripada arah jalan Sepanggar dan hendak menuju ke pusat bandar Kota Kinabalu dengan menggunakan lorong tengah jalan raya.

“Apabila sampai dilokasi kejadian dengan secara pejalan kaki berlari melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan yang dipercayai untuk menyeberang jalan menuju ke rumah sewa di Kampung Penampang Laut yang terletak diseberang jalan.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat penunggang motosikal tersebut tidak sempat untuk mengelak lalu terlanggar pejalan kaki dan selepas perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang bersama pembonceng serta motosikalnya telah terbabas ke hadapan sejauh 7 meter.

“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal dan pejalan kaki tersebut telah mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh Pegawai Perubatan yang bertugas.

“Manakala pembonceng pula mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Kasim berkata hasil siasatan mendapati kecuaian adalah disebabkan oleh pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas berhampiran.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.

“Pejalan kaki pula dinasihatkan agar sentiasa menggunakan jejantas ataupun laluan pejalan kaki yang telah disediakan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku,” tegasnya.