KOTA KINABALU: Dalam menghadapi dunia semakin mencabar kini, murid-murid sekolah diseru untuk terus lengkapi diri dengan pelbagai kemahiran, nilai-nilai murni serta semangat agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara kelak.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mohammad Arif Tun Datuk Seri Sakaran menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Pra Sekolah dan Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya 2024/2025 di sini, hari ini.
“Saya percaya dengan asas pendidikan yang kukuh ini, anak-anak sekalian mampu menjadi generasi yang membanggakan kita semua.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua graduan Tahun 6 dan pra sekolah. Saya berdoa semoga anda semua terus berjaya dalam kehidupan, sentiasa menghormati ibu bapa dan guru, dan menjadi individu yang membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap.
Arif dalam ucapan sama turut mengingatkan kepada semua murid graduan bahawa perjalanan ilmu tidak pernah berakhir dan yang utama adalah teruskan menanam semangat ingin belajar dan berusaha.
“Apa yang lebih penting ialah untuk terus menanam semangat ingin belajar, berusaha dan mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi kelak.
“Kepada para ibu bapa dan penjaga, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan dan dorongan yang diberikan kepada anak-anak selama ini. Peranan anda sangat penting dalam membentuk generasi masa depan yang cemerlang.
“Tidak dilupakan juga, penghargaan saya kepada pihak sekolah, khususnya kepada Guru Besar, para guru, dan semua warga sekolah yang telah mendidik serta membimbing anak-anak ini dengan penuh dedikasi. Kejayaan murid-murid kita hari ini adalah hasil usaha gigih dan komitmen anda semua,” ujarnya.