LABUAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan telah menahan reman seorang pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan kerja pendawaian senggaraan bangunan di sebuah agensi kerajaan di wilayah tersebut bernilai kira-kira RM300,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga 15 Januari 2025 telah dikeluarkan Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Labuan pagi kelmarin.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an telah ditahan kira-kira jam 5 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Labuan.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022.
“Suspek juga disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi kerja pendawaian senggaraan bangunan bernilai kira-kira RM300,000 sedangkan kerja tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.