Advertisement

Gagal ‘Langkah Kinabalu’, Pembangkang Kini Hasut Rakyat Dengan Pembunuhan Karakter – Masiung – Sabah News

SANDAKAN: Selepas gagal menjatuhkan kerajaan negeri Sabah menerusi “Langkah Kinabalu” parti pembangkang cuba menghasut rakyat untuk menjatuhkan karakter ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui pelbagai penyebaran video hasutan, kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.

Katanya, rakaman video yang disebarkan menggunakan individu tertentu baru-baru ini bukan sahaja usaha menggulingkan kerajaan GRS, bahkan wujud dendam yang telah lama dirancang oleh pemimpin pembangkang di Sabah.

Dakwanya lagi, kumpulan ‘Langkah Kinabalu’ itu cuba menebus kekecewaan mereka selepas gagal menguasai kerajaan Sabah melalui ‘pintu belakang’.

“Mereka sentiasa berusaha menggunakan pelbagai propaganda termasuk taktik kotor untuk mempengaruhi rakyat Sabah supaya membenci kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Mereka menyedari pengaruh parti mereka semakin susut selepas tewas menerusi siri pilihanraya yang lalu, kerana itu mereka merancang pelbagi konspirasi negatif untuk kembali berkuasa, ” katanya kepada media selepas merasmikan penutupan Bengkel Penerbangan Gagasan Rakyat di sini, semalam.

Tambah Masiung kumpulan Langkah Kinabalu yang kecewa adalah dalang media sosial yang bertanggungjawab menghasilkan video hasutan jahat melibatkan lapan ADUN dari GRS baru-baru ini.

Beliau yakin akan ada lagi usaha dan dendam kumpulan pembangkang itu untuk menghasut rakyat Sabah menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) tahun ini.

“Kita tengoklah apa lagi onar yang bakal mereka buat, kita percaya mereka kini sedang merancang agenda untuk menghasut rakyat untuk membenci kerajaan,” tegasnya.

Masiung yang juga ADUN Kuamut berkata, peningkatan Belanjawan Kerajaan Sabah 2025 yang dibentangkan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun pada 15 November 2024 lalu jelas memberi tamparan hebat kepada kumpulan pembangkang di Sabah.

Menurut Masiung, bajet berjumlah RM6.421 bilion yang pertama kali tertinggi bagi negeri Sabah yang menawarkan pelbagai inisiatif baharu kepada rakyat itu jelas tidak pernah dilakukan oleh mana-mana gabungan parti yang menjadi kerajaan negeri sebelum ini.