Advertisement

Menara JENDELA Kampung Logub Bawa Manfaat 643 Penduduk – Fahmi

Fahmi
Fahmi (tengah) menyatakan sesuatu kepada Ratnawaty (kanan) selepas berpuas hati dengan pengopersian Menara JENDELA Kampung Logub sambil disaksikan Bukhari (dua dari kanan) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Pembinaan Menara Telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kampung Logub memberi manfaat 643 penduduk dari tiga buah kampung.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, dengan pengoperasian menara telekomunikasi oleh Syarikat Majubina Resources Sdn Bhd itu penduduk sekitar kini menikmati manfaat liputan internet berkelajuan tinggi melebihi 200 mbps.

“Saya berharap kemudahan internet ini dapat membantu komuniti setempat bukan hanya akses kepada pendidikan dan e-commerce, tetapi juga memberikan peluang kepada penduduk untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan pengoperasian Menara JENDELA Fasa 1 Kampung Logub Tamparuli, di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai status pembinaan menara telekomunikasi JENDELA di Sabah katanya, sebanyak 203 daripada 400 menara JENDELA Fasa 1 telah siap dibina ketika ini, manakala selebihnya (197 buah menara) hampir siap.

Beliau juga memaklumkan bahawa terdapat 12 menara lagi di bawah pengawasan Syarikat Majubina yang dijadualkan siap menjelang bulan Disember ini.

Dalam usaha untuk mempercepatkan penyediaan internet, Fahmi telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk segera memasang peralatan microwave setelah struktur menara didirikan, sementara menunggu pemasangan fiber.

Namun, beliau mengakui bahawa sebahagian program JENDELA Fasa 1 di Sabah masih belum siap mengikut jadual.

“Masalah ini ada berkaitan dengan faktor muka bumi, pemilikan tanah dan masalah peralatan yang perlu diselesaikan segera oleh MCMC dan syarikat yang dilantik bagi memastikan projek ini berjalan lancar,” tegasnya.

Fahmi berkata mana-mana syarikat yang gagal menyiapkan projek seperti yang ditetapkan akan dikenakan penalti.

“Saya telah menyatakan kepada syarikat-syarikat terbabit agar segera mebangunkan menara-menara ini kerana ia adalah tanggungjawab dan amanah besar kepada rakyat,” ujar beliau.

Pada masa yang sama kerajaan akan melaksanakan JENDELA Fasa 2 pada tahun depan dengan lebih 2,700 lokasi baru yang akan dikenal pasti, termasuk kawasan terpencil, bukit bukau dan pulau-pulau.

Jelasnya, kerajaan juga sedang meneliti teknologi baru seperti Direct-to-Sell yang lebih murah dan pantas yang sesuai dengan bentuk muka bumi negara seperti Low Earth Orbit Satellite yang menghubungkan Satelit terus kepada peranti mudah alih bagi meningkatkan capaian internet di kawasan yang sukar dijangkau terutama di laluan utama dan kawasan luar bandar yang terlindung dari liputan menara JENDELA.

Hadir sama, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC, Bukhari Yahya dan Pengarah MCMC Wilayah Sabah Ratnawaty Talib. — JABATAN PENERANGAN SABAH