GAZA: Rakyat Palestin di Gaza sedang bergembira selepas pengantara mengesahkan perjanjian gencatan senjata telah dicapai antara Hamas dan Israel selepas 15 bulan berperang.
Gencatan senjata ditetapkan berkuat kuasa pada Ahad, 19 Januari.
Tentera Israel, bagaimanapun, meneruskan serangan mereka di seluruh Semenanjung Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin sejak perjanjian itu diumumkan.
Pegawai Hamas, Izzat al-Risheq berkata, perjanjian yang dicapai di ibu negara Qatar, Doha, memenuhi semua syarat kumpulan Palestin, termasuk pengunduran penuh tentera Israel, pemulangan orang yang dipindahkan ke rumah mereka dan pengakhiran kekal perang itu.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berterima kasih kepada Presiden AS Joe Biden dan Presiden terpilih Donald Trump atas “bantuan mereka dalam memajukan perjanjian untuk menamatkan penderitaan berpuluh-puluh tebusan dan keluarga mereka”.
Peperangan Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 46,707 rakyat Palestin dan mencederakan 110,265 sejak 7 Oktober 2023.
Sekurang-kurangnya 1,139 orang terbunuh di Israel semasa serangan pimpinan Hamas hari itu dan lebih 200 ditawan.