KOTA KINABALU, SABAH – Menara JENDELA Fasa 1 dijangka siap pertengahan tahun depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dua buah syarikat telah diberikan amanah menyiapkan lebih 100 menara JENDELA Fasa 1 di Sabah dan kedua-dua syarikat tersebut diberikan peringatan tegas untuk menyegerakan kerja-kerja untuk menyiapkan menara-menara yang dikenal pasti.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua syarikat dan syarikat pertama akan menyiapkan hampir kesemua menara yang masih dalam proses menjelang hujung tahun ini.
“Manakala bagi syarikat yang kedua, mereka jangkakan menjelang bulan Jun tahun 2025.
“Saya turut memberi peringatan supaya bagi bahagian kedua yang mana dengan tersiapnya menara, syarikat telco perlu masuk dan supaya kerja-kerja dipercepat.
“Pada bulan Oktober tahun lalu, saya telah menegaskan dalam Parlimen menara yang telah siap bagi program JENDELA, bagi bahagian kedua yang diuruskan oleh syarikat telco, perlu disegerakan penyelesaian kesalinghubungan bersifat interim ataupun
sementara.
“Ada yang akan menunggu pemasangan gentian optik tapi ini akan makan masa jadi saya minta supaya dipasang peralatan microwave untuk membolehkan menara-menara ini digunakan segera,” ujarnya ketika ditemui media selepas sesi Taklimat Status Pelaksanaan JENDELA di Sabah, pada Ahad.
Bagi pelaksanaan JENDELA Fasa 2, Fahmi memaklumkan beliau akan berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan perkara tersebut.
“Beberapa pengajaran daripada Fasa 1 harus kita terapkan dalam proses pelaksanaan JENDELA Fasa 2.
“Pada waktu ini kita jangkakan 2,700 lokasi di seluruh negara akan dikenal pasti untuk program JENDELA Fasa 2 tapi kita tidak akan bina menara semata-mata kerana ada beberapa lokasi mereka mungkin akan gunakan penyelesaian yang sedikit berbeza.
“Ada beberapa cabaran pembinaan menara ini antaranya tapak, pembinaan struktur menara dan untuk elak masalah yang sama berulang, bagi Fasa 2 kita akan ubah strategi,” katanya.
Mengulas mengenai Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, Fahmi menjelaskan fokus utama belanjawan adalah untuk memastikan rakyat terbela, kebajikan terjaga selain peluang bagi perniagaan dan sektor baharu seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) serta pusat data.
“Kita juga lihat hasrat Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit, mengurangkan kebergantungan kepada hutang baru.
“Bagi Kementerian Komunikasi contohnya, belanjawan menitikberatkan kepada isu kesalinghubungan, sama ada di berek polis, di kem tentera, di universiti-universiti awam untuk pastikan capaian internet, termasuk internet jalur lebar, lebih baik untuk rakyat,” tambahnya.
Tambah beliau, antara program besar yang akan diteruskan di bawah Kementerian Komunikasi adalah projek Point Of Presence (P.O.P). — JABATAN PENERANGAN SABAH