KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) dan ahli-ahli Gabungan Gerakan Bangkit Sabahan akan membuat laporan polis di seluruh Sabah bermula hari ini ke atas Timbalan Presiden Parti Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ini susulan Hamzah, dalam sebuah video tular, telah mengguris hati dan perasaan rakyat Sabah secara keseluruhan dengan menggunakan perkataan “palui” yang membawa maksud ‘bodoh’.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata penghinaan tersebut mungkin ditujukan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, tetapi prinsip rakyat Sabah ialah sesiapa sahaja individu yang dimaki atau dihina oleh orang luar akan membangkitkan solidariti.
“Perkataan palui yang diucapkan Hamzah yang ditujukan kepada rakyat Sabah disifakan sebagai perbuatan biadap dan kurang ajar.
“Laporan-laporan polis akan dibuat agar tindakan tegas dapat kenakan ke atas Hamzah.
“G57 juga berharap agar kerajaan negeri Sabah menggunakan kuasa imigresen sedia ada bagi menghalang pemimpin dan aktivis politik dari semenanjung Malaysia masuk ke Sabah sekiranya mereka mempunyai sejarah atau perilaku menghina dan berpotensi melakukan huru hara di Sabah,” katanya.
Zulkarnain yang juga Ketua Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan mengingkatkan bahawa sebelum ini kartunis Fahmi Reza juga telah menghina orang Sabah dengan melukis karikatur jelik yang telah membangkitkan kemarahan rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah sebenarnya tidak rasis dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi tetapi mutakhir ini tindakan memperlekehkan orang-orang Sabah berbentuk caci maki oleh ahli-ahli politik dari semenanjung Malaysia dilihat semakin menjadi-jadi.
“Ia sewajarnya dihentikan melalui tindakan menghalang mereka menjejakkan kaki ke Sabah,” tegasnya.