Advertisement

Lelaki Maut Tersepit, Hilux Bertembung Lori 8 Tan Di Jalan Kelawat, Kota Belud – Sabah News

Foto: Ihsan JBPM Sabah

KOTA BELUD: Seorang lelaki dilaporkan maut akibat tersepit selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua kenderaan, iaitu Toyota Hilux dan Lori 8 tan di Jalan Kelawat, semalam.

Manakala, tiga lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.05 malam.

“Lapor kemalangan melibatkan pertembungan Toyota Hilux dan lori 8 tan serta empat mangsa dilaporkan terlibat yang mana seorang daripadanya, iaitu lelaki berusia 58 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian. 

“Pasukan Bomba mengeluarkan mangsa maut yang tersepit di Toyota Hilux menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tools’ sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan seterusnya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala tiga orang mangsa yang berada di lori hanya mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba dan seterusnya dserahkan pada pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pasukan Bomba seterusnya membuat pembersihan kawasan kemalangan menggunakan satu salur bantu mula (hose reel).

Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud operasi di tamatkan sepenuhnya pada jam 9.24 malam.