BEAUFORT: Sistem POMIGAS dipercayai mampu menyediakan satu platform mencari pekerjaan untuk anak-anak Sabah dalam menceburi industri Minyak dan Gas.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, sistem yang dilaksana oleh Petronas dengan kerjasama bersama kerajaan negeri dijangka siap sepenuhnya pada Julai depan.
“Sistem ini akan dikawal selia oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Ketua Menteri dengan menggunakan eko-sistem pencari kerja Sabah Job Portal, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) terutama untuk anak-anak Sabah.
“Kerjasama itu mewujudkan satu platform pencarian kerja untuk anak-anak Sabah menceburi industri Minyak dan Gas khususnya di negeri ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak Petronas dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah atas usaha ini,” katanya.
Beliau berkata demikian katanya ketika merasmikan Hari Kerjaya Minyak Dan Gas, Kota Kinabalu 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Hadir sama Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Petronas, Datuk Bacho Pilong.
Dalam pada itu, Ruslan berkata, Sabah merupakan sebuah negeri yang memainkan peranan yang sangat penting dalam sektor minyak dan gas Malaysia.
Jelasnya, dengan kekayaan sumber semula jadi yang melimpah, dan lokasi yang strategik, Sabah telah menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran ekonomi negara.
“Tetapi lebih daripada itu, Sabah juga membawa potensi masa depan yang besar untuk perkembangan industri ini.
“Industri minyak dan gas kini berada dalam era transformasi yang ketara. Kita sedang menyaksikan perubahan global, daripada pergantungan kepada tenaga konvensional kepada penerapan teknologi yang lebih maju dan lestari.
“Dalam konteks ini, peluang untuk bakat-bakat muda di dalam industri ini adalah sangat luas. Tidak kira jika anda seorang jurutera, pakar teknologi, akauntan, pejuang alam sekitar, atau apa jua latar belakang Pendidikan dan Kemahiran, industri ini menawarkan ruang untuk anda menyinar,” katanya.