Advertisement

Media Sosial Bahaya Jika Tidak Ditangani Dengan Baik – Nizam – Sabah News

KUNDASANG: Ketua Penerangan Gagasan Rakyat mengingatkan bahawa pengaruh media sosial hari ini sangat besar dan berkuasa sehingga boleh mencetuskan bahaya jika gagal ditangani dengan berkesan.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, senario hari ini memperlihatkan orang ramai mudah terpengaruh dengan apa sahaja sebaran melalui media sosial.

Malah katanya, maklumat itu lebih mudah tersebar luas jika disebar oleh individu bergelar pempengaruh yang mempunyai pengikut yang ramai.

“Lambakan media sosial hari ini mewujudkan dunia tanpa sempadan sehingga maklumat tidak sahih mudah ditularkan dan kemudian diterima bulat-bulat tanpa memeriksa kesahihan sumber serta fakta berita berkenaan.

“Keadaan bertambah buruk jika maklumat itu disebarkan oleh individu yang memiliki pengikut ramai atau lebih dikenali sebagai ‘influencer’,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perasmian penutupan Bengkel Penerangan Zon 7 dan Zon 8 di Hotel Perkasa Kundasang, Ranau pada Ahad.

Majlis perasmian dirasmikan oleh Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun meminta para pengguna media sosial agar memiliki ilmu asas serta kemahiran untuk menapis apa-apa maklumat yang diterima bagi memastikan kesahihan dan kebenaran.

“Apabila menerima maklumat yang tidak pasti kesahihannya, setiap kita perlu tenang, jangan tergopoh-gapah dan jangan tergesa-gesa cepat menerima berita dan perlu diselidik dan pastikan berita yang diterima terlebih dahulu,” ujar beliau.

Tambah beliau, suatu yang penting ialah maklumat sewajarnya membantu kepada proses pembangunan dan kemajuan negara dan tidak sewajarnya diganggu-gugat dengan pelbagai dakyah dan fitnah yang boleh menimbulkan perpecahan dan salah faham.

“Apabila masuk berita dalam kumpulan WhatsApp, kita perlu tanya dapat dari mana? Betul kah apa disampaikan? Kadang-kadang kita pelik orang nak sebarkan berita gunakan ayat macam okey tetapi ada maksud lain sebenarnya,” kata beliau.

Masidi turut meminta pemimpin parti agar bersedia menguruskan media sosial dengan menyebar maklumat yang benar serta lebih proaktif bagi mengekang maklumat palsu.

Beliau berkata, penjelasan kepada rakyat melalui media sosial harus disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami, jelas, tepat dan berkesan.

“Kita tidak mahu rakyat dikelirukan dengan fakta yang salah dan songsang. Setiap dakyah harus dilawan dengan kebenaran. Tugas ketua penerangan menjadi tanggungjawab dan perjuangan kepada semua. Kita harus menang di media sosial jika ingin menang dalam pilihan raya akan datang,” ujar beliau.