Advertisement

SPRM Selesai Siasatan Kes Projek Mineral Dengan Kenyataan 18 ADUN Sabah – Sabah News





PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 18 ADUN Sabah untuk merekodkan kenyataan mereka, berhubung dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata proses siasatan berkaitan kes itu telah selesai dan pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan susulan. 

“Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya telah mengarahkan pegawai penyiasat melengkapkan beberapa kenyataan dan ini mesti dilengkapkan sebelum akhir bulan ini. 

“Saya beri jaminan pada Februari nanti, saya akan umumkan sendiri perkembangan terkini,” katanya pada sidang media di sini hari ini memetik laporan Bernama.

Azam berkata SPRM telah membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan beberapa rakaman video menunjukkan seorang ADUN didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Perbincangan dalam video itu melibatkan seorang ahli perniagaan yang meminta ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan kanan memulangkan wang apabila lesen projek terbabit telah dibatalkan tetapi wajah ahli perniagaan itu tidak kelihatan.