Advertisement

KPDN Laksana Tiga Inisiatif Rakyat Sempena Tahun Baru Cina – Armizan – Sabah News

KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada 29 Januari 2025, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan tiga inisiatif rakyat.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tiga inisiatif itu termasuklah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Tahun Baru Cina dan Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX).

“SHMMP Tahun Baru Cina 2025 akan berkuatkuasa dari 25 Januari hingga 2 Februari 2025. Tempoh pelaksanaan adalah selama 9 hari iaitu 4 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 4 hari selepas perayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dalam pada itu Armizan berkata, kementeriannya juga telah mengenal pasti sebanyak 16 jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim kali ini seperti Ikan Bawal Putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor); Udang Putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram); Kobis Bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing); Ubi Kentang Import (China); Bawang Putih (China); Halia Tua (Import); Lobak Merah; Lobak Putih.

“Seterusnya, Babi Hidup; Daging Babi (Perut); Daging Babi (Daging dan Lemak); Cili Merah; Bawang Kuning Besar; Bawang Merah Besar Import; Sawi Pendek / Sawi Jepun; dan Kepak Ayam (Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja),” jelasnya.

Skim ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Harga maksimum yang telah ditetapkan di peringkat borong dan runcit boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.

“Pegawai-Pegawai Penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan dalam kalangan para peniaga seterusnya melindungi kepentingan para pengguna.

“Kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Skim,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tegasnya lagi.