Advertisement

Program Madani Rakyat Sayangi Sabah Rekod 485,474 Pengunjung

KOTA KINABALU: Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah menarik seramai 485,474 orang pengunjung kepada program selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Oktober 2024 di Pekarangan Kompleks Sukan Likas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali selaku kementerian peneraju penganjuran PMR Sayangi Sabah telah berjaya mencapai objektif untuk merakyatkan program dan perkhidmatan kerajaan di akar umbi.

Pengisian program melibatkan pembukaan 36 unit reruai kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah selain penglibatan sektor swasta.

Antara komponen yang telah disediakan adalah sebanyak 215 perkhidmatan touchpoint rakyat, penglibatan 118 usahawan Jualan MADANI, pameran aset oleh 4 agensi kerajaan, 14 majikan di karnival kerjaya, 40 acara sesi libat urus pentas, 20 aktiviti luar, 28 perkhidmatan kos sara hidup dan 18 aktiviti agenda belia. Kepelbagaian pengisian dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan turut dihadiri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.

Bersekali dengan majlis ini, Perdana Menteri turut melancarkan inisiatif KITA GEMPUR iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan.

Dengan pelancaran ini, Armizan berkata kerajaan melalui KPDN beriltizam untuk melibatkan seluruh rakyat dalam memastikan usaha membanteras manipulasi dan ketirisan barangan kawalan dapat ditangani.

Dalam majlis sama, telah berlangsung penyampaian surat hak milik tanah individu kepada wakil penerima dari lapan daerah.

Sebagai salah satu langkah meningkatkan sosioekonomi rakyat melalui pendekatan projek berasaskan komuniti, Perdana Menteri turut menyerahkan bantuan kepada wakil-wakil penerima Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) dan melancarkan Nombor Plat Istimewa (NPI) MADANI untuk tujuan bidaan.