RANAU: Seorang pemandu lori trailer maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kg. Nabutan, sini, pagi semalam.
Kemalangan berlaku apabila lori yang membawa muatan tiang konkrit elektrik terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter, menyebabkan pemandu tertimbus di bawah lori.
Pasukan Bomba Ranau yang tiba di lokasi pada jam 9.12 pagi berusaha mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas, namun usaha pertama gagal.
“Pasukan bomba kemudiannya menunggu bantuan kren berat dari Kota Kinabalu, yang tiba pada jam 6 petang namun percubaan mengangkat lori tersebut tiga kali juga gagal.
“Pada jam 7.50 malam, teknik operasi diubah dengan mengalihkan 60 hingga 70 batang tiang simen.
“Akhirnya, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.50 pagi pada hari berikut setelah menggunakan teknik mengorek timbunan tanah,” lapor seorang jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak polis. Jenazah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan 8 anggota bomba, 6 anggota polis, serta 2 pegawai syarikat Ken Jaya dan 5 ahli keluarga mangsa.