Advertisement

Thailand Jadi Negara Asia Tenggara Pertama ‘Halalkan’ Perkahwinan Sejenis – Sabah News





Sumber Foto: Reuters…

BANGKOK – Thailand mencatat sejarah pada Khamis apabila menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menghalalkan perkahwinan sejenis, dengan lebih 1,000 pasangan dijangka mendaftar pada hari pertama pelaksanaan undang-undang baharu itu.

Selepas perjuangan aktivis selama beberapa dekad, Thailand menjadi wilayah ketiga di Asia yang membenarkan perkahwinan sejenis selepas Taiwan dan Nepal.

Di Bangkok, lebih 200 pasangan mengikat janji perkahwinan dalam majlis besar-besaran di sebuah pusat beli-belah mewah, mengenakan pelbagai pakaian termasuk gaun putih, pakaian tradisional Thai, sut barat, dan seragam polis.

“Kami telah bersama selama 17 tahun, bertemu di sekolah dan melalui banyak perkara… kami berharap lebih banyak kesaksamaan di masa depan,” kata Ploynaplus Chirasukon memetic sumber Reuters.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditemui selepas menerima sijil perkahwinan bersama pasangannya Kwanporn Kongpetch.

Kumpulan LGBT menyasarkan 1,448 pendaftaran perkahwinan pada hari pertama, merujuk kepada pindaan dalam kod sivil Thailand yang mengubah istilah “suami dan isteri” kepada “pasangan”.

Mereka juga merancang memohon pengiktirafan Rekod Dunia Guinness bagi jumlah perkahwinan sejenis terbesar dalam sehari.

“Angka 1-4-4-8 melambangkan perjuangan hak perkahwinan untuk semua jantina, mewakili impian dan harapan untuk masyarakat inklusif yang meraikan cinta dalam semua bentuknya,” kata kumpulan Bangkok Pride.

Menurut penganjur Bangkok Pride, Adcharaporn Thongchalaem, sambutan ini adalah mengenai pengiktirafan dan perubahan, bukan sekadar rekod.

“Perkahwinan sejenis adalah langkah pertama ke arah kesaksamaan. Ia menunjukkan Thailand bersedia berubah dan meraikan cinta sejati tanpa batasan,” katanya.