BEAUFORT: Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muharam menyatakan bahawa terdapat pihak yang cuba merobohkan muafakat dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang seterusnya menghalang Sabah untuk mengikuti jejak Sarawak.
Bagaimanapun, jelasnya, beliau yakin dengan gandingan lapan parti komponen dalam GRS itu untuk memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-17 Sabah (PRN-17) seterusnya menerajui kerajaan negeri di masa akan datang.
“Kita yakin dengan gandingan-gandingan daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu sendiri, USNO, SAPP dan parti-parti yang lain dalam GRS itu, kerana dalam hala tuju Sabah Maju Jaya, hala tuju kerajaan kita hari ini dan dalam GRS itu sendiri, kita ada ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.
“Jadi maknanya di situ maksudnya sangat besar dan kita perlu bekerjasama dalam apa juga keadaan dan kalau kita lihat situasi politik hari ini ada pihak-pihak tertentu akan cuba merobohkan mufakat dalam GRS itu supaya kerajaan GRS pada hari ini tidak dapat mengikuti jejak langkah Sarawak.
“Ini kita dapat lihat dalam keadaan yang senyap tapi kita faham langkah-langkah yang telah mereka lakukan dan ada juga parti tempatan kita diguna untuk cuba memesongkan pemikiran rakyat supaya kerajaan GRS ini tidak akan berkuasa selepas PRN. Tapi kita yakin rakyat akan dapat menilai sejauh mana kemampuan kerajaan kita pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan tinjauan mesra sempena Tahun Baharu Cina 2025 di sekitar Pekan Beaufort Selatan di sini, semalam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pihaknya terutama dalam PBS sudah bersedia menghadapi PRN akan datang dan akan mengekalkan kerusi-kerusi yang ada dalam gabungan GRS.
“Kita ingin menekankan dalam arena politik ini sudah tentu pihak-pihak tertentu akan mengambil peluang dan dalam mengambil peluang itu juga kadang-kadang banyak fitnah-fitnah yang dilontarkan kepada kerajaan kita pada hari ini.
“Tapi sebagai bukti kita, kerajaan kita pada hari ini adalah satu kerajaan yang kita lihat mampu untuk memimpin negeri kita dengan penjanaan pendapatan negeri itu sehingga RM7 bilion dan pada tahun ini kita akan membelanjakan RM6.4 bilion.
“Jadi maknanya kerajaan kita hari ini kukuh dan memang mempunyai satu pendekatan yang stabil dalam pentadbiran dan dalam arena politik itu sendiri,” tegasnya.