KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri peruntukan RM250 juta bagi membina 3,000 buah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada rakyat yang memerlukan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk membantu dan mensejahterakan kehidupan rakyat yang kurang bernasib baik.
“Insya Allah, pada tahun hadapan, sebanyak 3,000 buah rumah seumpamanya akan dibina di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kos sekitar RM250 juta.
“Tujuan utama kita adalah untuk membantu rakyat yang masih dalam kesusahan yang memerlukan rumah kediaman,” ujarnya pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Pekarangan Stadium Likas, pada Sabtu.
Menurut Hajiji, Program Madani Rakyat yang tercetus dari Gagasan Malaysia Madani adalah usaha kerajaan untuk memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat, meliputi beberapa inisiatif ke arah membantu mengurangkan beban hidup golongan kurang bernasib baik, termasuk program menoktahkan miskin tegar di dalam negara.
“Selain itu, program mega seperti ini bukan sahaja mampu menyatukan pemimpin dengan rakyat, malah membuka ruang dan peluang untuk rakyat memahami dasar dasar Kerajaan dan segala program pembangunan, disamping memanfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan untuk rakyat jelata dan golongan akar umbi.
“Program murni ini berpaksikan kepada keperluan dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan, selaras dengan objektifnya untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu yang disediakan untuk rakyat.
“Ia berasaskan kepada keperluan rakyat yang meliputi pelbagai bidang dan sektor yang menjurus kepada pembangunan dan kesejahteraan serta meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan dasar-dasar pembangunan kerajaan,” katanya.
Beliau memaklumkan, Sabah dipilih sebagai lokasi penutup Program Madani Rakyat 2024 setelah ianya dilaksanakan secara jelajah di 5 buah zon seluruh negara yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim selepas turut menghadiri Program SIBEC 2024 di SICC sebelumnya.
“Ekonomi Biru (Blue Economy) merupakan sumber baharu dalam pembangunan ekonomi negara sebagai tambahan kepada aktiviti ekonomi sedia ada, menjurus kepada penerokaan khazanah laut yang sangat berpotensi untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui serta lain-lain produk yang berkaitan dengannya.
“Ekonomi Biru ini diyakini mampu melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri untuk beberapa dekad mendatang memandangkan Sabah kaya dengan khazanah laut yang tidak ternilai, dan potensi ini perlu diterokai dengan bijaksana agar sumber ekonomi negeri dapat terus berkembang sambil kita menjaga dan memelihara ekosistem laut negeri ini,” jelasnya.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Mohamad Sabu. — JABATAN PENERANGAN SABAH