Advertisement

115 Pusat NADI Beroperasi Di Sabah – Fahmi

Fahmi
Fahmi (tengah) gembira apabila menerima respon positif daripada salah seorang murid darjah empat yang mencuba pembelajaran STEM melalui pembelajaran asas mikrobits sambil disaksikan Afina (kiri), Bukhari (tiga dari kiri) dan Karim (dua dari kanan) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 115 buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini beroperasi di Sabah.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah tersebut, 14 buah pusat NADI baharu dijadual siap menjelang akhir tahun ini.

“Sebagai perincian, 10 daripada 14 buah NADI baharu ini telahpun siap untuk beroperasi manakala empat NADI lagi dalam proses pelaksanaan dan dijangka memulakan operasi hujung tahun ini.

“NADI merupakan inisiatif kerajaan yang diwujudkan pada tahun 2013 dibawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Di bawah arahan Perdana Menteri baru-baru ini, pusat-pusat ini tidak hanya menawarkan program dan latihan di dalam NADI, ia juga akan dibawa keluar kepada komuniti berhampiran agar manfaatnya dapat diperluaskan.

“Selain itu, fokus akan diberikan kepada memanfaatkan ekonomi digital dan pemahaman tentang program bantuan kerajaan, termasuk manfaat baru yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan maklumat yang tepat bagi rakyat.

“Selain daripada itu, inisiatif pendidikan seperti E-Kelas yang disokong oleh Maxis, memberi peluang kepada anak-anak untuk terlibat dalam pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pembelajaran asas mikrobits.

“Dengan langkah ini, kerajaan berharap dapat memperluas akses kepada bidang pendidikan dan maklumat serta membantu masyarakat dalam memanfaatkan peluang yang ada dalam era digital,” katanya kepada media selepas melawat tapak dan merasmikan NADI baharu kampung Warisan, Inanam dekat sini pada Sabtu.

Jelasnya, orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi pusat NADI berhampiran yang beroperasi dari jam lapan pagi hingga lima petang, Isnin hingga Ahad, kecuali cuti umum.

Salah seorang penduduk, Hammiddi Danin yang juga Setiausaha Biro Kampung Warisan ketika ditemui menyatakan terima kasihnya kepada pihak kerajaan Persekutuan di atas inisiatif pembinaan 1 DUN, 1 NADI.

Tambah beliau, dengan adanya pusat tersebut ia bakal memberi kemudahan capaian Internet secara kolektif kepada masyarakat setempat lebih-lebih lagi bagi kawasan Kampung Warisan dan kampung-kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau.

Harapannya agar NADI Kampung Warisan yang bakal beroperasi pada 25 November nanti mampu memberi manfaat kepada lebih 4,960 orang penduduk setempat melalui pelbagai perkhidmatan dan latihan pintar yang disediakan di pusat itu nanti.

Hadir sama, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC, Bukhari Yahya dan Pengarah MCMC Wilayah Sabah Ratnawaty Talib, Timbalan Pengerusi HRD Corp Malaysia Ahsim Jamat, Ketua Pegawai Rangkaian Maxis Abdul Karim Fakir Ali, Ketua Maxis Wilayah Sabah Melvin Yap Chee Vui serta Pengurus NADI Kampung Warisan Afina Kinambura Mazlan. — JABATAN PENERANGAN SABAH