SEMPORNA: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam menekankan agar keutamaan pemberian Rumah SMJ diberikan kepada seorang ibu tunggal yang baru sahaja kehilangan tempat tinggal akibat dari satu kejadian kebakaran baru-baru ini.
Beliau memaklumkan perkara demikian selepas menziarahi mangsa kebakaran, Siti Ramah di Kampung Haji Amir Semporna pada Ahad lalu.
“Baru-baru ini rumah Puan Siti telah musnah akibat berlakunya kebakaran, kami bertemu dengan Puan Siti yang merupakan ibu tunggal dan tiga anak beliau termasuk seorang yang OKU.
“Kejadian ini telah mengakibatkan keluarga ini kehilangan tempat tinggal dan keadaan yang sangat mendesak, saya telah memohon kepada ADO Semporna agar memberikan keutamaan rumah SMJ buat keluarga ini.
“Saya berharap agar permohonan ini dapat dipertimbangkan dengan segera, memandangkan keperluan yang amat mendesak, terutama bagi seorang ibu tunggal yang perlu menjaga tiga orang anak, termasuk seorang yang OKU,” katanya ketika ditemui media dalam lawatan ziarah itu.
Ruslan pada masa sama turut menyampaikan sedikit sumbangan peribadi bagi meringankan bebanan keluarga tersebut dan bantuan seterusnya akan diberikan melalui Pusat Zakat Sabah MUIS untuk memastikan keperluan keluarga ini dapat dipenuhi dengan sebaiknya.
“Kami mengajak semua pihak untuk turut serta dalam memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga ini. Semoga usaha ini dapat meringankan sedikit kesulitan yang dihadapi oleh mereka,” katanya.