Advertisement

Ular Tedung Selar Buat Penampilan Di Ranau Pada Malam Tahun Baru Cina  – Sabah News

RANAU: Pasukan Bomba dan Penyelamat Ranau berjaya menangkap seekor ular tedung selar yang ditemui di kawasan sebuah rumah di Kampung Maukab Baru Lohan, Ranau, malam tadi.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 8.24 pada malam Tahun Baru Cina. Secara kebetulannya, kaum Cina merayakan tahun 2025 sebagai tahun ular. 

Menurut pegawai bertugas, pasukan bomba tiba di lokasi 14 minit kemudian dengan kekuatan lima anggota serta sebuah jentera jenis FRT.

“Operasi yang diketuai oleh PBK II KUP Nickson mendapati reptilia berbisa itu berada berhampiran rumah penduduk.

“Pasukan bomba bertindak segera menggunakan penjerut khas untuk menangkap ular tersebut bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya.

Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan dan operasi berjaya dikawal dan tamat sepenuhnya pada jam 9 malam selepas memastikan kawasan selamat.

Pihak Bomba juga menasihatkan penduduk agar berwaspada dengan kehadiran haiwan berbisa, terutamanya di kawasan kediaman berhampiran hutan atau ladang.