SANDAKAN: Hanya kestabilan politik, bersatu hati dan perpaduan yang utuh mampu membawa kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata lebih banyak pembangunan termasuk meningkatkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan sekiranya rakyat bersatu hati.
“Kerajaan negeri hari ini mempunyai banyak perancangan untuk meningkatkan ekonomi khususnya menerusi tiga teras utama Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Malah, lebih banyak inisiatif akan dilaksanakan kerajaan pada tahun ini demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Ini kerana perjuangan membantu rakyat belum selesai.
“Saya mahu rakyat di negeri ini termasuk di Sandakan akan terus memberi kepercayaan kepada kerajaan GRS-PH Plus dalam pilihan raya akan datang agar perjuangan kita membangunkan negeri ini akan dapat diteruskan,” katanya sempena Majlis Rumah
Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 peringkat daerah Sandakan di Dewan Yu Yuan, di sini pada Rabu.
Hajiji berkata, pencapaian dalam ekonomi khususnya kutipan hasil terus meningkat setiap tahun daripada RM4 bilion kepada hampir RM7 bilion pada tahun lalu.
“Saya percaya dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, jika GRS-PH Plus diberi mandat, kutipan hasil akan mencapai hingga lebih RM8 bilion.
“Oleh itu, saya berharap rakyat agar tidak mendengar atau mudah terpengaruh dengan cerita-cerita fitnah serta bohong pembangkang melalui media sosial kepada kerajaan.
“Kita akan teruskan pencapaian baik ini khususnya dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan Persekutuan untuk memastikan lebih banyak pembangunan dibawa ke negeri ini,”
katanya.
Seiring dengan peranan besar masyarakat Tionghua dalam pembangunan ekonomi negeri ini, beliau berharap masyarakat ini akan terus bersama-sama membantu kerajaan membangunkan ekonomi negeri ini.
“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa kerajaan negeri hari ini sentiasa berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira keturunan dan kepercayaan mereka.
“Ini yang kita terus lakukan dan saya berharap rakyat di Sandakan akan terus memberi sokongan kepada wakil-wakil rakyat di daerah ini,” katanya.
Sementara itu mengenai masalah air di Sandakan, beliau akan memanggil pengarah jabatan air untuk menyelesaikan masalah bekalan air di daerah ini.
“Saya mahu tahu lebih lanjut apa masalah sebenarnya. Saya tidak mahu ada unsurunsur sabotaj dalam pengurusan air di negeri ini, termasuk di Sandakan,” katanya.
Turut hadir dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr Jeffrey
Kitingan dan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Poon Ming Fung @ Frankie; Ahli Parlimen
Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin.