KOTA KINABALU, SABAH – Pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengajian Islam (FIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif berkata kerajaan Negeri Sabah sentiasa mendukung dan menyokong usaha-usaha dipelopori oleh pihak UMS selari dengan cogan kata universiti tersebut iaitu “Bertekad cemerlang dalam melahirkan mahasiswa mahasiswi yang cemerlang.
“Salah satu cara untuk melahirkan kecemerlangan ialah melalui perkongsian ilmu serta pengalaman dengan mendatangkan tokoh-tokoh ternama dalam pelbagai bidang ilmu, agama dan juga sebagainya.
“Diharapkan pelantikan Habib Ali Zaenal akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pihak UMS malah kepada Negeri Sabah amnya dalam menyebarkan ilmu, dakwah serta pengalaman beliau,” katanya.
Beliau ditemui media ketika menghadiri Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Hafazan Al-Quran (Tips-Q) dan Penyampaian Watikah Profesor Adjung FIS di UMS, pada Isnin.
Dalam acara sama Ariffin turut melancarkan Kempen Infak Tunai Pembinaan Bangunan FIS.
Beliau mengalu-alukan masyarakat dalam dan luar Sabah untuk menyahut kempen berkenaan bagi mendukung usaha memperkasa ilmu pengetahuan dan khususnya bidang keagamaan.
Habib Ali Zaenal Abidin merupakan pendakwah yang kedua dilantik menjadi Profesor Adjung selepas pelantikan Dr. Abdul Somad Batubara atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abdul Somad (UAS) pada Januari lepas. — JABATAN PENERANGAN SABAH