Advertisement

Program Jangkauan Komuniti KPT Hospital UMS Bersama Komuniti Beri Perkhidmatan Terus Secara Percuma Kepada Masyarakat  – Sabah News

KOTA KINABALU : Pelaksanaan program jangkauan komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) bersama komuniti berupaya memberi perkhidmatan kesihatan terus kepada masyarakat setempat di seluruh Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program itu juga dilihat berjaya mendapat sambutan daripada masyarakat dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti.

“Saya lihat pada hari ini pelbagai aktiviti dilaksanakan khususnya berkhatan perdana dan juga saringan kesihatan. Ini program yang saya lihat sangat ramai yang dinamakan sebagai Prihatin Madani yang dianjurkan HUMS.

“Saya difahamkan program seumpama ini telah dilaksanakan sejak tahun 2022 sehingga sekarang, ada 150 lebih program dan saya ucapkan syabas dan tahniah kepada UMS melalui HUMS ini telah melaksanakan program komuniti di seluruh daerah.

“Saya harap program ini akan diteruskan dan sangat banyak manfaatnya untuk masyarakat dan rakyat khususnya di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jangkauan Komuniti KPT HUMS Bersama Komuniti di Masjid Jamek Kampung Likas di sini, hari ini.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, menerusi program itu juga, UMS dapat menyampaikan maklumat berhubung pendidikan dan peluang pembelajaran kepada anak-anak di UMS.

“Memang pun selama ini UMS telah memberikan peluang yang besar kepada anak-anak kita khususnya anak Sabah untuk belajar dan saya harap akan ramai lagi anak Sabah yang dapat peluang untuk memasuki UMS khususnya bidang perubatan.

“Saya yakin dengan program ini kita boleh membantu lebih ramai masyarakat di seluruh negeri Sabah,” katanya.