Advertisement

Lelaki Maut, Terbabas Sejauh Enam Meter Selepas Motor Ditunggang Terbabas Akibat Terlanggar Lubang Di Jalan Lintas – Sabah News

Foto: Ihsan PDRM Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilaporkan maut selepas motor yang ditunggangnya terbabas sendiri dipercayai terlanggar lubang pada permukaan jalan raya yang rosak dalam kejadian kemalangan berhampiran Jejambat Lido, Jalan Lintas di sini, hari ini.

Penunggang motor yang berusia 30-an dipercayai telah menunggang motosikalnya yang datang daripada arah City Mall dan menghala ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11.15 pagi.

“Siasatan ditempat kejadian mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila seorang lelaki penunggang motosikal yang berumur dalam lingkungan 30-an telah menunggang motosikalnya yang datang daripada arah City Mall dan menghala ke KKIA.

“Semasa melalui lorong tengah jalan raya sebelum menaiki jejambat Lido mangsa telah dipercayai terlanggar lubang pada permukaan jalan raya yang rosak dilorong tengah jalan raya mengakibatkan penunggang motosikal tersebut telah terbabas lebih kurang enam meter ke arah hadapan diatas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Selepas terbabas, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk menerima rawatan lanjut.

“Akibat daripada kemalangan itu penunggang motosikal tersebut telah terjatuh daripada motosikalnya dan mengalami kecederaan parah dibahagian kepala dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Kemudian, pada jam lebih kurang 1.35 petang hari yang sama telah mendapat makluman daripada pihak HQE1 memaklumkan bahawa mangsa penunggang motosikal tersebut telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya lagi.

Tambah Kasim, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan yang berhati-hati dan sentiasa patuh kepada peraturan lalulintas.