KOTA KINABALU: Jabatan Meterologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada bagi negeri Sabah dan Sarawak yang dijangka berlaku hingga esok (5 Feb).
Memetik MET Malaysia, hujan lebat berterusan tahap buruk yang dijangka berlaku di negeri ini melibatkan daerah Sandakan termasuk (Telupid, Beluran dan Sandakan) sehingga Rabu, 5 Februari 2025.
Manakala hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Pantai Barat Sabah termasuk (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat hingga Rabu (esok).
Hujan tahap waspada ini turut dijangka berlaku di negeri Sarawak termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei, Sibu (Sibu) dan Mukah, juga hingga esok.
Sementara itu, Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip juga dalam analisis hari ini berkata, analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 9 Februari 2025.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu, MET Malaysia telah mengemas kini Amaran Hujan Berterusan (Buruk & Waspada) melibatkan Sabah dan Sarawak berkuat kuasa sehingga 5 Februari 2025.
“Manakala, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan telah dikeluarkan dan berkuat kuasa sehingga 7 Februari 2025.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.