SANDAKAN: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Sandakan bertindak membantu menghantar pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang terperangkap banjir kilat di Kampung Gum-Gum awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapten (PA) Sulaiman Salama berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam mengenai keperluan bantuan tersebut pada jam 7.15 pagi.
“APM Daerah Sandakan telah menerima panggilan dari orang awam melalui Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) bagi membantu seorang pelajar calon SPM yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura kerana teperangkap akibat kawasan kediaman mereka dinaiki air.
“Tindakan seterusnya, pihak kami mengatur gerak pasukan dengan kekuatan seorang pegawai dan 4 llp beserta aset air (bot) ke lokasi.
“Tiba di lokasi pada jam 7.35 dan proses kerja mengeluarkan pelajar tersebut dari kediaman selesai pada jam 8 pagi dengan menggunakan bot fiber APM.
“Jarak untuk menghantar pelajar SPM tersebut dari kampung ke SMK Elopura sejauh lebih kurang 7 kilometer dan pelajar selamat sampai ke sekolah dengan menaiki pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi Sabah News hari ini.
Tambah Sulaiman, setakat ini pasukannya sudah membuat pemantauan keseluruhan lokasi terjejas dan walaupun kawasan kediaman masih dinaiki air, namun masih dalam keadaan terkawal.
“Untuk pasukan APM, kita masih menempatkam pasukan di lapangan (Kampung Gum-Gum) untuk siap siaga sebarang kenaikan air,” jelasnya.