PASIR MAS, KELANTAN: Seorang wanita disyaki melarikan wang tunai berjumlah RM2,500 selepas didakwa menyamar sebagai tetamu majlis perkahwinan di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini, pada Sabtu, lapor Sinar Harian.
Dalam kejadian jam 12.42 tengah hari itu, wanita berkenaan dikatakan telah menumpang tandas sebelum melarikan wang tunai yang terdapat di ruang tamu rumah.
Gelagat wanita berkenaan berjaya dirakam video kemera litar tertutup (CCTV) sebelum tular di laman sosial sejak Ahad.
Berdasarkan rakaman berdurasi 38 saat itu, wanita bertudung dan memakai baju kurung dilihat keluar dari tandas.
Wanita itu yang disyaki tidak diundang ke majlis terbabit serta tidak dikenali oleh tuan rumah telah masuk ke kawasan ruang tamu untuk mengambil wang tersebut sebelum melarikan diri.
Semasa kejadian, terdapat dua kanak-kanak bermain di ruang berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung video yang tular itu.