KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru semua rakyat Sabah untuk tidak berpecah-belah, sebaliknya pertahankan negeri ini seperti rumah sendiri.
“Kita mahu pertahankan, kita jangan pecah-belah, kita mesti mempertahankan negeri Sabah ini macam kita pertahankan rumah kita. Rumah kita ini mesti kita mahu jaga baik-baik.
“Jangan kita biarkan orang di luar daripada rumah kita ingin mengatur rumah kita, kerana yang lebih faham, yang lebih tahu keadaan rumah kita ialah kita sendiri.
“Sebab itu mudah-mudahan rakyat, khususnya masyarakat di Kapayan ini akan terus bersatu padu dan memastikan rumah kita ini, kitalah yang menjaganya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Mesra Warga Emas, Taman Delima Kapayan 2025 anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kapayan di sini, semalam.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas turut mengingatkan bahawa terdapat pihak-pihak yang sengaja mencari jalan untuk memporak-perandakan kestabilan sedia ada di negeri ini dan menyeru orang ramai untuk tidak terpengaruh.
Mengulas mengenai majlis, Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, beliau yakin, majlis itu dapat merapatkan lagi hubungan persaudaraan, silaturahim dan kejiranan seterusnya dapat melahirkan rasa hormat kepada orang yang lebih tua.
“Selain itu, majlis ini juga sekali gus dapat melahirkan rasa sayang kita kepada generasi-generasi muda yang kita harap mereka inilah yang akan meneruskan kejayaan, kesejahteraan dan pembangunan, kesenangan, keindahan yang kita kecapi pada hari ini,” katanya.