KOTA KINABALU: Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Bin Muda, mengumumkan bahawa IPD Kota Kinabalu menawarkan pengurangan kompaun saman trafik dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi saman terpilih yang dikeluarkan dalam daerah tersebut.
“Orang ramai diseru untuk mengambil peluang tawaran kompaun ini bagi menyelesaikan saman tertunggak sekaligus meringankan beban kepada yang tidak berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Pembayaran boleh dibuat di Kaunter Bayaran Trafik IPD Kota Kinabalu dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang, kecuali pada hujung minggu dan cuti umum.
Walau bagaimanapun, Kasim berkata, tawaran ini tidak termasuk saman yang melibatkan sebutan mahkamah, OP Selamat, kesalahan kenderaan berat, pengubahsuaian ekzos, dan saman trafik lain yang tidak boleh dikompaun.
“Orang ramai yang ingin memanfaatkan tawaran ini dinasihatkan untuk hadir ke IPD Kota Kinabalu bagi mendapatkan kelulusan sebelum membuat pembayaran,” ujarnya.