Advertisement

Sarawak Umum ‘AirBorneo’ Sebagai Syarikat Penerbangan Milik Sendiri – Sabah News

Abang Johari (kanan) dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tengah) melihat model pesawat selepas menyaksikan pertukaran perjanjian antara Kerajaan Sarawak dengan Malaysia Aviation Group hari ini. Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Wang Tengah Ali Hasan (kiri)…(Sumber Foto: BERNAMA)

KUCHING, SARAWAK – Sejarah baharu dilakarkan negeri Sarawak hari ini apabila secara rasminya mengumumkan ‘AirBorneo’ sebagai nama syarikat penerbangan baharunya.

Pengumuman itu dibuat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam majlis menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Penandatanganan perjanjian tersebut memuktamadkan pengambilalihan MASwings oleh Kerajaan Sarawak.

Ia ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki mewakili Kerajaan Sarawak, yang juga merupakan Pengerusi AirBorneo sementara Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail mewakili MAG.

Dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari menyatakan bahawa pemilihan nama syarikat penerbangan baharu Sarawak itu mengambil kira negeri Sabah dan tidak menolak kemungkinan untuk meluaskan ketersambungan ke Kalimantan.

Memetik laporan Utusan Borneo, ‘AirBorneo’ memaklumkan bahawa pihaknya bersedia untuk mewujudkan keseimbangan antara kesalinghubungan, tambang berpatutan dan manfaat ekonomi.

Beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC), AirBorneo ujarnya, boleh meningkatkan pengalaman penumpang dengan ketara melalui perkhidmatan dalam penerbangan yang unggul.

“Ini akan menekankan prestij serantau Sarawak sebagai destinasi pelancongan premium. Dengan AirBorneo, ia akan meningkatkan lagi ketersambungan Sarawak, di dalam dan di luar negara…

“AirBorneo sudah tentu akan terus menumpukan perhatian kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar atau RAS dan secara beransur-ansur mengembangkan operasi ke destinasi dalam radius empat jam, sebelum berkembang lebih jauh pada masa depan jika pasaran perjalanan memerlukannya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai RAS, Abang Johari berkata kerajaan memastikan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan akan terus mendapat akses kepada perkhidmatan dan peluang penting di Sarawak dan Sabah.

Beliau berkata melalui RAS, subsidi bagi laluan yang kurang menguntungkan akan memastikan kawasan pedalaman terus berhubung dengan dunia luar.

“Komitmen ini membantu mengurangkan jurang perbezaan serantau, menggalakkan kesaksamaan sosial dan penyertaan ekonomi yang lebih besar dari seluruh pelosok Sarawak dan Sabah,” katanya.

Selain itu, Abang Johari mendedahkan AirBorneo sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang akan terlibat dalam perkongsian strategik dan perjanjian perkongsian kod dengan syarikat penerbangan antarabangsa lain.

Ini katanya, termasuk dengan Malaysia Airlines, dalam memperluaskan lagi jangkauan rangkaian dan menambah baik ketersambungan global untuk Sarawak.

Menurutnya juga, AirBorneo dijangka menawarkan kepelbagaian dan peluang pekerjaan khusus, daripada perkhidmatan pelanggan kepada peranan teknikal lanjutan, yang seterusnya boleh menyumbang ke arah kemahiran peningkatan dan pembangunan bakat di Sarawak.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama rapat dengan MAG bagi memastikan peralihan yang lancar, dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman mereka untuk mengurangkan gangguan serta mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi.

“Dengan bekerjasama dalam inisiatif pemasaran dan promosi serta memanfaatkan capaian MAG, saya percaya kita dapat menarik lebih ramai pelawat ke Sarawak dan Sabah, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan perniagaan kita,” katanya.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga berminat untuk bekerjasama dengan MAG dalam program latihan pembangunan penerbangan yang melibatkan profesional dan pekerja industri ini.

Jelasnya, ini bagi memastikan tenaga kerja di negeri ini dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan terkini untuk memacu inovasi serta kecemerlangan dalam operasi syarikat penerbangan.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin dan tetamu-tetamu kehormat lain.