KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Warisan, Datuk Darell Leikin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang persefahaman pilihanraya dibuat di antara parti Warisan dengan Barisan Nasional (BN) Sabah.
“Saya telah menerima banyak panggilan serta pesanan Whatsapp dari wartawan, ahli parti Warisan dan orang awam yang bertanyakan saya adakah ianya benar bahawa satu persefahaman pilihanraya antara Warisan dan BN Sabah telah dibuat sepertimana yang dikongsikan oleh sebuah page di Facebook semalam (13 Februari).
“Untuk pengetahuan semua, saya mengesahkan disini bahawa tidak ada sebarang persefahaman pilihanraya dibuat antara Warisan dan BN Sabah (termasuklah dengan mana-mana parti politik yang lain) yang membabitkan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sepertimana yang dikatakan oleh page tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Jelas Darell yang juga ADUN Moyog, perkara ini termasuk pendapat yang dikemukakan oleh pelbagai pihak supaya Warisan membuat kerjasama pilihanraya juga tidak pernah dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi Warisan mahupun Biro Politik Warisan untuk dibincangkan.
Oleh yang demikian katanya, hantaran tersebut tidak lebih daripada andaian dan spekulasi yang selalunya timbul menjelang pilihanraya.
“Berdasarkan kepada perkembangan politik terkini, saya berpendapat bahawa Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkemungkinan besar mengharapkan kerjasama dengan BN Sabah.
“Dimana ketika Persidangan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke 39 pada 29 Oktober tahun lalu di KDCA, beliau (Hajiji) sendiri mengatakan bahawa GRS terbuka berbincang kerjasama dengan BN Sabah.
“Manakala, merujuk kepada kesediaan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk terus bersama dengan GRS, maka kita tidak perlu hairan mengapa Hajiji mahu BN Sabah berkerjasama dengan gabungan tersebut. Ini semua hanyalah untuk memastikan GRS terus memerintah negeri ini,” katanya.