Advertisement

Jaulah Dakwah Tampilkan Habib Ali Zaenal di Membakut

Arifin
Arifin (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Habib Ali Zaenal ( Sumber Foto: Ihsan KSTI Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Buat julung kalinya, Jaulah Dakwah sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Daerah Membakut menampilkan Pendakwah tersohor, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar.

Menerusi ceramah sejam bertajuk, “Cara untuk mendapat cinta Allah Subhanahu Wa Ta’ ala (SWT)”, beliau mengajak lebih 3,000 umat Islam dari sekitar daerah berkenaan untuk mengasihi dan mencintai Rasulullah SAW di samping terus mengamalkan syukur, zikir dan menjaga solat.

Mengulas mengenai program tersebut, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata keterujaan masyarakat Membakut jelas dilihat dengan jumlah kehadiran dan tumpuan yang diberikan sepanjang mengikuti ceramah daripada tokoh pendakwah tersebut.

“Dengan kehadiran seorang tokoh ulama pendakwah terkenal negara kita malah di Nusantara dapat berkunjung ke Membakut, sudah pasti masyarakat Membakut dan daerah-daerah sekitarnya sangat berbahagia dan senang dan tadi ramai hadir mudah-mudahan banyak manfaatnya yang dipersembahkan oleh Habib tadi.

“Enam perkara yang sangat penting yang kita perhalusi untuk kita renungkan kita amalkan antaranya cinta kepada Junjungan Rasulullah SAW bersyukur zikir dan banyak lagi,” ujar beliau.

Arifin yang juga Exco Agama, pihaknya juga dalam rangka untuk melibatkan Habib Ali dalam siri jelajah program itu ke seluruh daerah di negeri ini.

“Mudah-mudahan program seumpama ini akan dapat kita laksanakan pada masa hadapan dan berharap Habib dapat datang bersama-sama dengan masyarakat.

“Kita akan bawa beliau berkunjung ke daerah-daerah lain jaulah dakwah di seluruh Sabah,” katanya ketika ditemui media di sini, pada Ahad malam.

Sementara itu, Habib Ali menyifatkan jemputan terbabit merupakan penghormatan bagi dirinya dan berharap gandingan umarak dan ulama dapat menyebarkan ilmu kepada masyarakat. — JABATAN PENERANGAN SABAH