KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) seharusnya bertanggungjawab membuat pemantauan, pemeriksaan yang kerap dan rapi serta berjadual terhadap jalan-jalan yang rosak di mana sekali pun, sama ada di bandar-bandar besar atau kawasan pekan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan, jabatan itu jangan menunggu sehingga berlaku kemalangan baru kelam-kabut bertindak.
Katanya, beliau begitu sedih dengan viral kejadian seorang pengguna jalanraya (menunggang motorsikal) maut gara-gara jalanraya yang dibiarkan berlobang yang berlaku dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini.
“Sementara perkara ajal dan maut itu adalah takdir yang telah ditentukan, tetapi jalanjalan yang rosak ini, tidak kira di mana sekali pun, di bandar-bandar besar atau kawasan pekan, pihak JKR seharusnya bertanggungjawab membuat pemantauan atau
pemeriksaan yang kerap dan rapi serta berjadual.
“Jangan tunggu sampai ada aduan atau arahan, baru mau bergerak! Ini adalah zaman dimana segala-galanya berada di hujung jari. Silap sedikit, pasti ada yang tukang viral sambil menyalahkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri.
“Yang dilihat dan yang ditegur bukannya Kementerian atau Jabatan yang berkenaan, tetapi Kerajaan dan Ketua Menteri”, katanya pada Majlis Amanat Tahun Baru 2025 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam di Negeri Sabah di Sabah International
Convention Centre (SICC) hari ini.
Hajiji berkata, begitu juga dengan isu air, isu elektrik, isu setinggan haram oleh golongan PTI dan bermacam-macam lagi isu terkait kepentingan rakyat yang sepatutnya dapat diatasi jika kita cekap, pantas dan tangkas dalam bertindak dan menunaikan kewajipan.
Mengenai isu air, katanya, masalah itu yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu yang tidak memahami isu bekalan dan pembahagian air, telah bertindak melakukan rombakan dan perubahan drastik dalam jabatan berkenaan sehingga pegawai yang berpengalaman dipindah, selain kontraktor sedia ada, diganti.
“Akibatnya, sekarang bekalan air terputus-putus di sana sini, malah ada air tetapi masin. Semuanya berpunca daripada masalah pengurusan bekalan air yang tidak cekap, dan lebih memburukkan lagi keadaan, berlaku kecurian bekalan air yang berleluasa yang sangat luar biasa, sehingga mencecah 60% air bersih kita hilang dicuri orang.
“60% non-revenue water (NRW) bukan sedikit. Lebih separuh air bersih kita hilang. Ini tanggungjawab Jabatan Air untuk kenalpasti di mana dan bagaimana punca-punca kehilangan itu berlaku.
“Saya difahamkan bahawa 60% NRW itu kini berjaya diturunkan setelah dikenalpasti beberapa kawasan yang terdapat penyambungan haram dengan menghentikan penyambungan tersebut ke perkampungan setinggan haram. Persoalan saya, apa
jaminan penduduk setinggan haram tersebut tidak menyambung semula saluran air berkenaan?”, katanya.
Katanya, Kementerian dan Jabatan yang terlibat sepatutnya bertindak pantas menjelaskan kepada rakyat apa sebenarnya masalah yang berlaku dan dihadapi sekarang.
Beliau mengambil contoh, projek dan kerja-kerja memperbaiki Loji Rawatan Air Telibong 2, telah pun siap, tetapi bekalan air masih belum mencukupi kerana proses pemasangan paip baharu yang menyalurkan air dari lori itu ke Sepanggar dan sekitar Kota Kinabalu, masih dalam pembinaan, dan hanya akan siap sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya, untuk bekalan air kepada penduduk di sebelah Putatan, pihak Jetama sedang membina Urgent Water Supply Scheme, iaitu loji baharu berkapasiti 5 juta liter sehari (MLD).
Projek ini dijangka siap pada bulan Mei nanti yang akan menghasilkan pertambahan 5 juta liter sehari (MLD) khusus untuk kawasan sekitar Putatan.
Katanya, Projek Loji Rawatan Air Kogopon 2 di Papar yang masih dalam pembinaan, dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan yang akan meningkatkan kapasiti air terawat untuk kawasan Papar dan juga Putatan.
Hajiji berkata, bagi memastikan bekalan air yang konsisten untuk jangkamasa panjang, Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat berkolaborasi membina Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom, yang dijangka siap pada 2029.
“Projek mega ini akan menjadi sumber bekalan air mentah, terutama ke beberapa daerah utama di Sabah. Dengan projek ini juga aliran bekalan elektrik akan diperluaskan dengan menghubungkan rantau selatan dan tenggara Sabah, sekali gus
mencipta rangkaian tenaga yang lebih stabil”, tegasnya.