Advertisement

Penjaja Bazar Ramadan Dinasihat Utamakan Tahap Kebersihan Makanan Dijual – Sabah News

BEAUFORT: Penjaja bazar Ramadan terutama di daerah ini dinasihatkan untuk sentiasa memastikan tahap kebersihan makanan yang dijual berada pada tahap memuaskan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam berkata, kebersihan merupakan salah satu tuntutan dalam Islam.

“Kita memberi nasihat kepada para peniaga terutama penjaja bazar Ramadan untuk mengambil peluang dimana bulan Ramadan ini rezekinya sangat luas yang penting kita berusaha.

“Selain itu, tahap kebersihan, keterjaminan makanan itu juga perlu d ambil perhatian sebab sudah tentu dengan adanya juadah-juadah yang bersih itu adalah menjadi satu tuntutan Islam.

“Kebersihan itu adalah yang paling utama dan ketiganya apabila juadah mereka terjamin kualiti yang baik juga akan meningkatkan keyakinan para pelanggan dan sekali gus akan menambah pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Forum Anjung Al-Taqwa: Di Ambang Ramadan di Masjid DSP Hj. Lajim bin Hj. Ukin, Beaufort di sini, semalam.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pada Ramadan tahun ini, antara pengisian yang akan di laksanakan termasuklah Kiamulail di Masjid Terpilih.

“Tahun ini, selain amalan biasa seperti berbuka puasa, solat tarawih, dan tadarus, kita akan mengadakan program Qiamulail secara berjadual di masjid-masjid terpilih.

“Inisiatif ini diharap dapat menghidupkan malam-malam Ramadan dengan lebih bermakna,” katanya.

Selain itu katanya, lawatan ke bazar Ramadan bersama bersama agensi kerajaan juga akan turut dilaksanakan.

“Tahun ini saya bersama agensi Kerajaan akan turun padang ke bazar Ramadan, bukan sahaja untuk bermesra dengan peniaga dan pengunjung, tetapi juga memastikan juadah yang dijual mematuhi standard kebersihan.

“Kita juga akan menziarah anak yatim kerana Ramadan juga menjadi ruang untuk menyantuni anak-anak yatim, memberikan mereka rasa kasih sayang yang mungkin dirindui,” katanya.