Advertisement

Kerajaan Negeri Perkukuh Inisiatif Pro-Rakyat Melalui Peningkatan Hasil Negeri – Sabah News

Dr. Joachim (tengah) bergambar bersama dengan penerima usahawan muda di Kundasang di bawah Program Outreach Ketua Menteri Bersama NGO dan Usahawan Muda…

RANAU: Peningkatan hasil negeri membolehkan Kerajaan Negeri memperkenalkan lebih banyak inisiatif pro-rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Menurut beliau, hasil negeri meningkat secara konsisten sejak tahun 2021 (RM5.49 bilion) kepada RM6.96 bilion pada 2022, dan terus bertambah kepada RM6.97 bilion pada tahun 2023.

“Ini membolehkan Kerajaan Negeri memperkenalkan lebih banyak inisiatif pro-rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya ketika merasmikan Program Ceramah Motivasi SMJ & Bengkel Menjawab Soalan Pengajian Am 2025 di Dewan Masyarakat Ranau kelmarin (20 Feb).

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada pendidikan menerusi pelbagai inisiatif, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) yang memberikan bantuan antara RM1,500 hingga RM2,000 kepada lebih 10,000 pelajar B40 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Selain itu, Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang memberikan bantuan RM200 kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 untuk keperluan peperiksaan; Bantuan Aktiviti PIBG Sekolah (BAGUS) yang menyediakan pembiayaan RM2,000 kepada PIBG sekolah bagi menjalankan aktiviti pendidikan, manakala inisiatif SUKSES memberikan dana RM3,000 kepada setiap sekolah di Sabah.

Bantuan Penyelenggaraan Kecil-Kecilan Sekolah (BALKIS) menyediakan peruntukan baik pulih sekolah sehingga RM50,000.

“Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) turut menambah dana biasiswa sebanyak RM127 juta untuk membantu pelajar kurang berkemampuan, dan subsidi pengangkutan RM300 diberikan kepada pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung,” kata ADUN Kundasang itu.

Dr. Joachim berharap program ini akan memberi manfaat kepada semua peserta dan mengukuhkan lagi komitmen kerajaan dalam memastikan kecemerlangan pendidikan di Sabah.

Program tersebut berjaya menghimpunkan hampir 500 orang pelajar dalam usaha meningkatkan motivasi serta kemahiran akademik mereka.

Antara pengisian program yang menarik perhatian peserta ialah ceramah motivasi yang disampaikan oleh Hadi Hidayah Tutoh dan bengkel menjawab soalan Pengajian Am yang dikendalikan oleh Tuan Amit Awang. Program ini bertujuan memberikan bimbingan kepada pelajar dalam menghadapi peperiksaan dengan lebih berkesan serta membangkitkan semangat mereka untuk mengejar kecemerlangan akademik.

Menghargai pihak IKRAR dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau atas penganjuran program ini yang diyakini dapat memberi manfaat besar kepada para pelajar di daerah Ranau, Dr. Joachim turut menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah diperkenalkan sejak 29 Mac 2021.

Selain itu, dalam program ini juga telah berlangsung sesi penyerahan bantuan kepada 100 usahawan muda di Kundasang di bawah Program Outreach Ketua Menteri Bersama NGO dan Usahawan Muda.

Setiap usahawan menerima bantuan one-off sebanyak RM500, bertujuan membantu mereka meningkatkan modal perniagaan dan mengurangkan beban kos sara hidup.