KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa setiap laporan polis yang diterima akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu hari ini, keputusan terhadap sesuatu kes adalah di bawah bidang kuasa pihak mahkamah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata, siasatan dijalankan secara profesional dan telus bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“PDRM hanya bertanggungjawab untuk mengumpul bukti, menjalankan siasatan, dan melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat berhubung proses siasatan dan perbicaraan sesuatu kes.
“PDRM sentiasa komited untuk menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.
Jelasnya, kenyataan itu dikeluarkan bagi memperjelas proses siasatan yang sedang dijalankan serta memastikan orang awam tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih.