KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, memuji peranan besar Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dalam memperkasakan ekonomi pekebun kecil serta menyumbang kepada kemajuan luar bandar sepanjang 75 tahun penubuhannya.
Dalam ucapan beliau sempena Majlis Sambutan Jubli Intan LIGS, Jeffrey menegaskan bahawa LIGS bukan sahaja berfungsi sebagai badan pengawalseliaan industri getah tetapi juga sebagai pemangkin utama dalam meningkatkan daya saing industri getah Sabah.
“Sejak ditubuhkan pada tahun 1950, LIGS telah menjadi pemacu utama dalam pembangunan industri getah Sabah melalui pelbagai program penting untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan memperkasakan ekonomi penduduk luar bandar, khususnya pekebun kecil,” katanya.
Beliau turut mengakui cabaran ketidaktentuan harga global yang sering dihadapi oleh industri getah.
Justeru, beliau memuji usaha LIGS dalam memperkenalkan program ekonomi tambahan bagi membantu pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan.
“Antara pendekatan utama adalah Program Aktiviti Ekonomi Tambahan, termasuk usaha penanaman nanas MD2, yang kini berkembang sebagai sumber pendapatan baru bagi pekebun kecil,” jelasnya.
Jeffrey turut menekankan kejayaan Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) – Inisiatif Usahawan Tani di Kampung Gana, Kota Marudu, yang dilaksanakan dengan mandat daripada Kementerian Ekonomi.
“Projek ini bukan sahaja meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar, tetapi juga membuka peluang kepada usahawan tani untuk mengembangkan usaha mereka dalam sektor pertanian moden,” tambahnya.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan industri getah Sabah untuk memastikan sektor ini kekal relevan dan mampu bersaing di peringkat nasional serta antarabangsa.
“Dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, LIGS dan pekebun kecil, industri getah Sabah akan terus berkembang dan menyumbang kepada kemakmuran negeri ini,” katanya sebelum merasmikan majlis tersebut.