KOTA KINABALU: Program ‘Community Policing’ berupaya membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memahami isu-isu keselamatan setempat selain dapat memperkukuh hubungan baik sesama masyarakat.
Polis Kota Kinabalu yang merupakan penganjur kepada program dalam kenyataan memaklumkan pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program berlangsung dengan kehadiran Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda bersama Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Faridah Giau.
“Antara aktiviti yang dilaksana ialah bancian penduduk, yang bertujuan mengenal pasti cabaran serta masalah keselamatan yang dihadapi oleh komuniti, sekaligus membolehkan pihak polis merangka tindakan susulan yang lebih berkesan.
“Selain itu, edaran pamplet pencegahan jenayah turut dilakukan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil untuk mencegah jenayah, termasuk keselamatan rumah, penipuan dalam talian, serta keselamatan diri,” jelas kenyataan itu, semalam.
Dalam pada itu, usaha memudahkan penduduk menyalurkan maklumat dan aduan kepada pihak polis, program itu juga memperkenalkan penggunaan QR Code Aduan Masyarakat, yang membolehkan aduan dibuat secara dalam talian dengan lebih pantas dan efisien.
“Selain itu, sesi dialog bersama masyarakat turut diadakan sebagai platform untuk penduduk menyuarakan kebimbangan, berkongsi pengalaman serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pihak polis mengenai langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil bagi memastikan kawasan tempat tinggal mereka lebih selamat.
“Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu juga turut mengedarkan ‘Kempen Kunci Tambahan Motosikal & Kenderaan’ kepada penduduk Taman Jaya Diri,” katanya lagi.
Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Hajah Iyda binti Ismail, serta Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, DSP Dg Nur Azarinawaty binti Ag Kachee, bersama pegawai dan anggota IPD Kota Kinabalu.