KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang merancang untuk melaksanakan kerja-kerja rekonfigurasi di bangunan terminal Lapangan Terbang Lahad Datu yang dijangka bermula September 2025.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam satu jawapan bertulis di Persidangan Dewan Rakyat memaklumkan kerja-kerja itu merangkumi rancangan untuk menambah baik fasiliti penumpang di dalam terminal meliputi kaunter daftar masuk, saringan keselamatan, tuntutan bagasi, balai berlepas dan ketibaan penumpang.
“Ia bagi meningkatkan tahap keselesaan penumpang dan kelancaran operasi di Lapangan Terbang Lahad Datu.
“Kerja-kerja penambahbaikan ini dijangka akan bermula pada bulan September 2025 dan dijangka akan siap pada suku pertama 2026,” katanya.
Kementerian itu menyatakan demikian bagi menjawab Soalan Lisan yang dikemukakan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran).
Menurut MOT, kementerian itu sentiasa merancang untuk menaiktaraf lapangan – lapangan terbang di bawah kendalian MAHB, termasuk Lapangan Terbang Lahad Datu.
“Walau bagaimanapun, sebarang cadangan untuk menaik taraf atau membina lapangan terbang baharu perlu disokong oleh unjuran-unjuran yang realistik, khususnya unjuran permintaan perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan Lapangan Terbang Lahad Datu,” jelasnya.
Terdahulu, Madius dalam soalannya meminta MOT menyatakan langkah yang diambil kementerian bagi mempercepatkan pelaksanaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) yang terletak di Kota Marudu dan Lapangan Terbang Antarabangsa di Lahad Datu.
MOT memaklumkan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang perancangan pelaksanaan LTAKK yang terletak di Kota Marudu.
“Kerajaan Persekutuan pada 8 November 2024 telah bersetuju cadangan projek naik taraf LTAKK di lokasi sedia ada bagi menampung jumlah pergerakan yang dijangka akan meningkat di Sabah.
“Skop utama projek ini adalah pembesaran terminal utama LTAKK untuk menampung penambahan kapasiti lapangan terbang dari sembilan juta penumpang setahun kepada 12 juta penumpang setahun.
“Selain daripada pembesaran terminal, projek naik taraf LTAKK juga merangkumi pembangunan komersial, pembinaan tempat letak kereta bertingkat, naik taraf jalan di sekitar lapangan terbang dan penambahan tujuh apron parkir untuk pesawat menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 33 apron parkir.
“Pembangunan LTAKK dengan kos sebanyak RM442.30 juta akan dibiayai hampir keseluruhannya melalui inisiatif pembiayaan swasta iaitu oleh MAHB yang mana tidak akan melibatkan sebarang jaminan daripada pihak Kerajaan,” jelas MOT lagi.