Advertisement

G57 Mahu Pendakwaan Diteruskan Ke Atas Pihak Memfitnah Tun Musa  – Sabah News

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menegaskan bahawa kes penghinaan, fitnah, dan cubaan mengaibkan Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, Tun Musa Aman, perlu diteruskan di mahkamah.

Pengerusi G57 Datuk Zulkarnain Mahdar berkata individu yang terlibat dalam perbuatan memfitnah dan mengaibkan Tun Musa, termasuk segelintir pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Fahmi Reza, tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

“Rekod menunjukkan bahawa Tun Musa Aman tidak pernah disabitkan bersalah oleh mana-mana mahkamah di Malaysia berhubung dakwaan rasuah.

“Oleh itu, tuduhan bahawa beliau mengamalkan rasuah dan merupakan ‘kaki rasuah’ adalah satu fitnah jahat yang bertujuan mengaibkan Institusi Istana di Sabah,” tambahnya.

Zulkarnain berharap tindakan tegas diambil terhadap mereka yang cuba mencemar nama baik Tun Musa dan akan memastikan keadilan tertegak.

Dalam pada itu, G57 menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti semula pendakwaan terhadap penganjur Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan dan Gempur Rasuah yang diadakan pada 31 Disember 2024 di hadapan Anjung Selera dan Menara Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata keputusan ity selari dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menghentikan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap mahasiswa yang terlibat dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah pada 25 Januari lalu.