INDONESIA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilaporkan maut selepas tangannya tersangkut pada lubang paip saliran air kolam renang di sebuah hotel dalam kejadian di Kecamatan Pameungpeuk, Kabupaten Garut, sekitar pukul 10.00 pagi waktu tempatan.
Mangsa yang berasal dari Desa Bojong Kaler pada mulanya bermain gelongsor air sebelum meluncur ke dalam kolam sedalam satu meter.
Memetik laporan media tempatan, Plt Kasat Polairud Polres Garut, Iptu Aep Saprudin berkata, saksi yang berada di lokasi menyedari sesuatu yang tidak kena apabila mangsa tidak kelihatan timbul.
Difahamkan, tangan mangsa telah tersangkut pada lubang paip saliran air kolam renang yang tidak mempunyai penutup seterusnya dipercayai menyebabkan air yang mengalir deras ‘menarik’ tangan mangsa masuk ke dalam lubang tersebut.
Pengunjung kolam renang yang menyedari keadaan ini segera berusaha untuk menyelamatkan mangsa namun, arus air yang kuat menyukarkan mereka untuk menariknya keluar.
Akibat keadaan yang semakin kritikal, pihak keluarga mangsa segera menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan.
Dalam rakaman video yang tular, orang awam yang berada di lokasi turut bertungkus lumus membantu menyelamatkan mangsa dengan beberapa individu dilihat cuba mengeluarkan air kolam dengan menggunakan baldi untuk mengurangkan tekanan air di sekitar mangsa.
Sementara itu, pasukan penyelamat memaklumkan bahawa proses menyelamatkan mangsa mengambil masa yang lama kerana tangannya tersangkut dalam “posisi yang sukar”.
“Kami terpaksa menggunakan mesin penyedut air bagi mengurangkan tekanan air dalam kolam. Selain itu, kami juga terpaksa memecahkan bahagian saluran pembuangan kolam renang bagi membebaskan tangan mangsa,” jelasnya.
Sepanjang operasi menyelamat, pasukan perubatan sempat memberikan bantuan oksigen kepada mangsa namun, usaha itu tidak berjaya menyelamatkan nyawa kanak-kanak tersebut.