KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah komited untuk menaikkan taraf hidup dengan rakyat menerusi pemberian rumah mesra SMJ membabitkan 1,500 unit di seluruh Sabah tahun ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Ini akan menjadi proses dan perjuangan berterusan kerajaan negeri untuk membantu rakyat ini, kita bagi mereka rumah mesra SMJ, tahun hadapan kita akan bagi 3,000 rumah.
“Di samping itu, kerajaan negeri menyediakan perumahan-perumahan lain untuk mereka yang mempunyai pendapatan rendah.
“Selain itu, kita juga akan memberi ruang untuk membantu mereka mengusahakan perniagaan kecil-kecilan, jualan di kampung-kampung ataupun di pekan-pekan supaya mereka boleh meningkatkan pendapatan,” katanya ketika ditemu bual oleh MalaysiaGazette baru-baru ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa agenda SMJ turut berjaya menoktahkan kemiskinan tegar melalui program pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat pada akhir Julai lalu.
“Sabah mempunyai ramai miskin dan miskin tegar, kita berjaya menoktahkan 22,000 miskin tegar namun ia tidak bermakna tiada miskin tegar lagi, kita noktahkan senarai yang telah diberikan oleh agensi Persekutuan dan negeri.
“Secara tidak langsung kita juga meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar lebih dari RM1,200 di Sabah,” jelasnya.