KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) memeterai satu lagi perjanjian penting dengan PETRONAS bagi membolehkan syarikat milik-penuh kerajaan negeri itu membekalkan 150 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) gas asli, 100 MMscfd untuk pembuatan dan 50 MMscfd untuk penjanaan kuasa, dengan nilai bekalan dianggarkan RM1 bilion setahun kepada Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd.
“Perjanjian ini menandakan langkah penting ke arah matlamat pembangunan jangka panjang Sabah, mempromosikan pertumbuhan industri dan keselamatan tenaga serta mencipta peluang baru untuk memacu kemajuan Sabah.
“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama dengan PETRONAS sambil mengambil kira kepentingan terbaik untuk Sabah,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor selepas menyaksikan pertukaran perjanjian antara SEC dan PETRONAS serta SEC dan Esteel di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Dalam perjanjian antara SEC dan PETRONAS, syarikat petroleum nasional itu akan membekalkan tambahan 104 MMscfd gas asli kepada SEC untuk menyokong keperluan industri dan tenaga Sabah.
Dengan peningkatan bekalan gas asli, PETRONAS kini membekalkan sejumlah 370 MMscfd kepada SEC.
Mewakili PETRONAS adalah Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hidrokarbon Terpadu MPM, Anuar Ismail, manakala Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Adzmir Abdul Rahman mewakili SEC.
Mengulas mengenai perjanjian ini, Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata ia menekankan komitmen tidak berbelah bagi PETRONAS untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai yang menyumbang kepada pertumbuhan Sabah sambil menyokong penggunaan tenaga yang lebih lestari.
Komited kepada amalan industri yang terbaik, SEC mengekalkan keberkesanan penghantaran gas sebanyak 98% dan terus meningkatkan keupayaan teknikal dan kecekapan operasinya untuk memacu pertumbuhan dalam sektor tenaga.
Dijangka beroperasi pada suku keempat tahun 2027 di tapak seluas 180 hektar, fasa 1 projek keluli hijau dengan pelaburan sebanyak USD 1.93 bilion (RM8.92 bilion), akan mewujudkan 2,795 peluang pekerjaan secara langsung dan menghasilkan 2.5 juta tan besi briket panas yang lebih bersih.
Projek tiga fasa ini membawa masuk pelaburan dianggarkan sebanyak US$4.39 bilion (RM19.6 bilion).
Loji ini telah memilih gas asli sebagai agen pengurang dan bukannya kok dan arang batu, mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 70 peratus dan menjadikannya rendah karbon, berkesan, dan mesra alam.
Ketua Menteri berkata, ini menandakan keyakinan Sabah terhadap projek keluli hijau, yang merupakan antara pelaburan yang mewakili asas pertumbuhan ekonomi dan strategi pembangunan negeri.