PENAMPANG: Suami isteri dilaporkan maut selepas terlibat dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Limbanak di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.26 pagi.
“Lapor kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 50×40 terbakar 100 peratus dan turut musnah terbakar lima buah kenderaan termasuk, Toyota Hilux, Toyota Prado, Vios, Kelisa dan sebuah motosikal elektrik.
“Menurut orang awam, terdapat tiga orang penghuni di rumah tersebut yang mana dua mangsa, iaitu suami isteri dijumpai dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.
“Seorang (isteri), 50-an dipercayai terkena renjatan elektrik dan mangsa kedua (suami), 60-an rentung di dalam rumah, manakala mangsa ketiga, setelah unit K9 membuat pencarian tiada tanda mangsa ketiga berada di lokasi kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki 2 pancutan sumber air terbuka, iaitu anak sungai.
Kedua mayat mangsa pula telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi pemadaman terkawal pada jam 4.31 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.15 pagi.