KOTA KINABALU: Lebih kurang 669 orang mangsa kehilangan tempat tinggal setelah kira-kira 80 buah rumah setinggan jenis tidak kekal musnah terbakar dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Cempaka Likas awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.41 pagi.
Katanya, susulan panggilan kecemasan itu seramai 18 anggota bomba dari BBP Lintas dan 32 anggota dari BBP Kota Kinabalu telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 5 kilometer dan tiba pada jam 8.58 pagi untuk membantu memadamkan kebakaran.
Agensi lain yang turut bersama-sama ialah, Sabah Electricity, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Air dan Rela.
“Lapor kebakaran melibatkan rumah setinggan jenis tidak kekal dengan anggaran 80 buah rumah dengan keluasan 250 meter persegi yang mana anggaran setiap rumah dengan keluasan 10’x20′ kaki.
“Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dimaklumkan oleh ketua operasi dan operasi terkawal pada jam 7.32 pagi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Operasi seterusnya ditamatkan pada jam 11:57 pagi.
Menurut penduduk setempat, selain rumah turut ikut terbakar sebuah surau, tiga kenderaan, iaitu sebuah Hilux, sebuah Proton Saga, sebuah Perodua Myvi dan beberapa motosikal.
Kejadian kebakaran turut dikatakan berpunca dari kabel elektrik yang terbakar.