KOTA KINABALU, SABAH – Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) melalui kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 di Dewan Rakyat pada Rabu lepas menjadi mekanisme terbaik melindungi hak wartawan serta menjaga profesionalisme kerjaya itu.
Ketua pengarang agensi media tempatan dan ahli akademik di Sabah berpendapat MMM penting dalam menyuburkan etika serta amalan kewartawanan di negara ini, dan usaha membawa industri media untuk terus maju terutama di negeri ini.
Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui berkata MMM dapat memastikan wartawan dilindungi dan tidak sewenang-wenangnya dikenakan tindakan undang-undang yang tidak wajar dalam melaksanakan tugas mereka.

“Tidak dinafikan wartawan sering berhadapan dengan risiko keselamatan, ancaman undang-undang dan gangguan semasa menjalankan tugas secara hakiki. Dalam hal ini, MMM boleh menyediakan mekanisme untuk melindungi hak wartawan, termasuk dalam konteks kerahsiaan sumber maklumat yang tidak boleh didedahkan,” katanya kepada Bernama.
Ahli Majlis Pentadbir Ikatan Setiakawan Wartawan MalaysiaIndonesia (ISWAMI) itu berkata MMM akan menjadi platform ke arah memupuk, menggalakkan dan menyuburkan etika serta profesionalisme kewartawanan dalam industri media tempatan.
Lichong optimis bahawa MMM mampu membantu usaha kerajaan ke arah memperkasakan media sosial dan digital yang kini berkembang pesat, justeru beliau berharap perhatian diberikan kepada media menggunakan platform digital selain media konvensional, seperti surat khabar.
Ketua Pengarang Daily Express Datuk James Sarda berkata MMM sudah lama tertangguh dan sekiranya ia direalisasikan lebih awal, ia akan membantu menyelesaikan banyak situasi yang dialami media, seperti pengalaman yang tidak menyenangkan dengan pihak berkuasa berhubung laporan mereka.

“Namun, pada pandangan saya, wartawan yang harus dipersalahkan atas kelewatan (penubuhan MMM) kerana dalam kalangan kita sendiri tidak dapat bersetuju dari segi terma rujukan atau pembiayaan, walaupun ia dibentuk menerusi parlimen, media diiktiraf sebagai kedudukan keempat dalam peranan pemerhatian, selepas perundangan, eksekutif dan kehakiman,” katanya.
Beliau berkata walaupun pembentukan majlis berkenaan merupakan penghargaan kepada Kerajaan MADANI, MMM perlu bersedia memainkan peranan berkesan sebagai pihak berkecuali dalam menangani pihak yang berasa teraniaya sama ada ahli majlis sendiri, orang awam atau kerajaan.
Ahli Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu juga berharap terdapat wakil dari Sabah dan Sabah dalam majlis berkenaan kerana isu yang dibawa oleh dua negeri di Borneo itu mungkin berbeza dari negeri di Semenanjung.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Haryati Abdul Karim berkata penubuhan MMM dapat mewujudkan standard kewartawanan yang lebih baik dalam membolehkan penyampaian berita lebih berkesan kepada masyarakat.
“Ia dapat memastikan pelaporan berita di Sabah menjadi lebih objektif dan berintegriti dengan lebih mengutamakan masalah rakyat berbanding isu politik semata-mata,” katanya.
Seorang lagi Pensyarah Kanan fakulti itu Dr Intan Soliha Ibrahim berpendapat penubuhan MMM merupakan pendekatan holistik dalam memastikan golongan media berpegang teguh kepada kod etika kewartawanan yang sering diabaikan.
“Melalui pendekatan ini, saya berpendapat isu maklumat yang mengelirukan dalam sesebuah berita dapat diatasi sekali gus melancarkan lagi maksud sebenar yang ingin disampaikan kepada masyarakat,” katanya.
Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung dari fakulti sama menekankan pentingnya wakil dari Sabah atau Sarawak dalam MMM untuk mewakili suara dan kepentingan media di negeri berkenaan dengan lebih adil, selain representasi yang inklusif dan seimbang daripada blok Borneo.
Beliau berkata perkara itu penting bagi mengelakkan persepsi bahawa MMM akan tunduk terhadap kepentingan atau desakan tertentu sekali gus memastikan masyarakat menerima maklumat yang sahih.
– BERNAMA